Friday, May 17, 2013

Unity is above all in Islam!

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..

Pertama sekali, saya ingin memohon maaf atas kelambatan saya mengemas kini blog. Seperti yang ditulis pada 'Header', tajuk hari ini ialah mengenai kesatuan. Dunia kini melihat banyak pergolakan, pertumpahan darah, pergaduhan malah perbalahan sesama sendiri. Hatta dalam kalangan umat Islam juga berlaku perkara yang tidak pernah dituntut ini. Islam hari ini jatuh oleh kerana umatnya yang lemah! Kenapa? Kita juga pernah mempelajari peribahasa "Bersatu teguh, bercerai roboh". Sebatang lidi dapat dipatahkan dengan mudah tapi bukan seikat lidi. 

Ada beberapa kemungkinan umat Islam berpecah belah.
Pertama :
Saling mencemuh antara satu sama lain. Kita mencemuh saudara kita kerana tidak menyukai perangai mereka yang dianggap hina, jijik dan menjengkelkan. Adakah perbuatan mencemuh merupakan satu cara yang terbaik? Pada pendapat saya, tidak sama sekali.
Kelemahan sahabat kita, saudara seagama kita adalah kelemahan kita juga. Tidak mulianya perbuatan mereka adalah kerana tiada kemuliaan dalam diri kita untuk membimbing mereka ke jalan yang benar. Pernahkah kita terfikir sebegini? Andaikan kita yang berada pada tempat mereka, pasti terbit jauh di sudut hati kita, 'Dimanakah sahabat2 aku tatkala aku hampir jatuh jauh dalam lubang neraka?'. Be in someone shoes to feel what he felt. Kita harus meletakkan diri kita di tempat sahabat2 kita untuk menggerakkan kita ke arah membimbing mereka ke arah kebenaran. Ini adalah tanggungjawab seseorang yang bergelar muslim!

Kedua :
Masing-masing memikirkan dirinya benar sebenar-benarnya. Naluri kita sebagai seorang manusia adalah untuk menang dan menjadi orang yang benar demi mendapatkan kepercayaan orang lain. Namun, kadangkala kita tidak terfikir bahawa tidak semua yang kita fikirkan dan percaya itu benar. Jika semua orang di dunia ini menyatakan bahawa dia benar, dimanakah orang yang membenarkan, orang yang membetulkan yang salah, orang yang memberi nasihat? Akan wujudkah perbincangan antara satu sama lain? Tidak. Malah, pergaduhan yang akan berlaku di sana sini. Akhirnya, dapatkah kita kepada penyelesaian yang berkesan? Kita sepatutnya berfikiran terbuka dan mampu menerima pandangan dan pendapat dari orang lain. Mungkin pandangan orang lain lebih baik daripada kita. Bukan sahaja perkara ini akan menguntungkan orang tersebut, malah turut menguntungkan diri kita juga. Sama-sama untung, sama-sama bahagia. Tidakkah umat sebegini yang kita mahu di dunia akhir zaman kini?

Ketiga :
Kegilaan materialistik dan kuasa. Penyakit ini yang banyak menyerang umat Islam sekarang. Masing-masing mahu hidup senang. Oleh itu, mereka berusaha mengumpul kekayaan dan harta benda. Ada yang menjadi gila kuasa. Mahukan pangkat yang tinggi. Mahu dipandang tinggi dan dihormati. 2 perkara yang dikejar umat manusia akhir zaman : kuasa dan pangkat. Kita tidak perlu mengulang sejarah. Lupakah kita apa balasan kepada umat jahiliyah dahulu kerana tergila-gilakan pangkat, kuasa dan harta? Janganlah kita lupa kerana tiada siapa yang mahu sejarah hitam berulang kembali. Kesenangan dapat dicari dengan kuasa dan harta tetapi kebahagian tidak sama sekali. Berapa ramai orang di luar sana yang begitu kaya seolah-olah dapat menampung kehidupannya seluruh hidup tanpa perlu bekerja lagi tidak merasakan kebahagian dalam kekayaan tersebut. Hidup kadangkala kerisauan, takut akan dirompak, keluarga terancam, ugutan, penculikan dan pelbagai lagi masalah yang timbul. Ramai juga yang mempunyai pangkat tinggi dibenci, dikhianati orang lain kerana kegilaannya. Walau berapa ramai pun pengawal yang mereka upah, tetap tidak dapat menghalang daripada ancaman orang yang dengki.

Marilah sama-sama kita fikir, apakah sebab umat Islam kini makin berpecah? Adakah kita telah menilai diri kita supaya jauh daripada menjadi penyebab?

ingatAllah! 

Friday, December 30, 2011

Selangkah demi selangkah...

"You put one foot in front of the other...
 we move like we ain't got no other...
 we go where we go we're marchin on..
 marchin on..."

Kemanakah langkah kita membawa diri kita?
Setiap manusia itu fitrahnya 'melangkah' apabila telah diberi tanggungjawab ke atas bahu mereka. Apa yang dimaksudkan langkah di sini ialah arah tuju hidup kita sebagai seorang mukalaf. Apa yang menggerakkan langkah kita setiap hari? Atas dasar apakah kita melangkah? Kemanakah kita melangkah?
Setiap hari, apabila kita baru sahaja membuka mata pada satu hari yang baharu, otak kita akan menyusun aktiviti yang bakal kita lakukan pada hari yang baharu tersebut. Pernahkah kita terfikir bahawa otak kita menyusun info-info di dalamnya menurut kata hati kita. Dan dari manakah kata hati itu muncul? Dari iman kitakah? Atau dari nafsu kita?
Ya, topik yg berulang kali diketengahkan oleh kebanyakan orang yang berdakwah di dunia ini-iman. Apalah sangat iman ini kalau bukan sebagai bukti cinta kita pada Allah dan Islam. Kita memang sentiasa berjalan dengan iman bersama diri kita tetapi adakah kita sedar iman kita bertambah berkurang setiap masa kita melangkah? Kita tidak sedar malah tidak tahu pun. Melangkahlah kita dengan penuh keimanan. Yakinlah dalam setiap langkahan itu dengan membawa keimanan yang paling tinggi dalam diri. Namun, sebelum itu, didiklah iman kita sebaik-baiknya. Tambahlah darjat keimanan kita dengan setiap langkahan kita. Melangkahlah ke arah jalan yang lurus. Bangkitlah jika terjatuh di selekoh-selekoh jalanan. Sambunglah perjalanan setiap kali terhenti di perhentian jalan.

Akhir kata, melangkahlah dengan keimanan dalam menambah darjat keimanan....
Selangkah demi selangkah menuju ke syurga Yang Maha Esa dan dalam mencapai keredhaannya... Biarlah selangkah demi selangkah daripada berlari dan terus menerus terjatuh...

ingatAllah !

Saturday, October 15, 2011

Reputasi???

Apa itu reputasi?

Menurut kamus dewan edisi 4 :
1 nama baik
2 perbuatan dan lain-lain yang menyebabkan nama baik


Menurut kamus dwibahasa Oxford Fajar :
1 what is generally believed about a person or thing
2 general recognition for one's abilities or achievements

Menurut Oxford WordPower :
The opinion that people in general have about what somebody or something is like

Jadi? Bagaimana pula pandangan orang tentang reputasi?

  • Sesetengah orang pandang 'reputasi' itu pada warna baju
  • Sesetengah orang pandang 'reputasi' itu pada jawatan yang dipegang
  • Sesetengah orang pandang 'reputasi' itu pada kebaikan yang dilakukan
  • Sesetengah orang pandang 'reputasi' itu pada kebolehan
  • Sesetengah orang pandang 'reputasi' itu pada kemasyhuran-famous
  • Sesetengah orang pandang 'reputasi' itu pada sumbangan
  • Sesetengah orang pandang 'reputasi' itu pada pencapaian
  • Semua orang ada pandangan !!!

Oleh itu, DI MANAKAH sebenarnya terletaknya reputasi seseorang?

Reputasi terletak pada maruah diri, akal fikiran yang tahu membezakan antara baik dan buruk, adab dan sakhsiah serta pada pengetahuan seseorang itutentang ilmu Allah yang luas mahupun dari sudut fardu ain dan fardu kifayah. Tidak semestinya, anda memakai baju warna lain, memegang jawatan yang tinggi, anda mempunyai reputasi yang tinggi sedangkan anda tiada maruah diri, anda menyamakan baik dan buruk, adab dan sakhsiah tidak terjaga malah anda mempunyai ilmu yang sedikit apatah lagi apabila ditanya berkenaan sifat-sifat Allah, anda tidak tahu pun mengenainya.

Reputasi di mata Allah...

Reputasi yang tinggi di sisi Allah adalah apabila seseorang itu meninggalkan larangan-Nya dan melaksanakan perintah-Nya. Seseorang yang mempunyai reputasi yang tinggi di sisi Allah, tidak pernah takut kepada apa-apa melainkan Allah semata-mata. Dia juga terdidik dengan sifat-sifat mahmudah yang apabila dipandang 'sejuk mata memandang'. Akal fikirannya dipenuhi ilmu-ilmu Allah itu dimanfaatkan di dunia dan akhirat. Kta-katanya bukanlah yang sia-sia dan setiap kata yang keluar merupakan emas yang tidak ternilai. Tiada yang sia-sia yang akan dilakukan olehnya melainkan ibadah, ibadah dan ibadah hanya pada penciptanya Yang Maha Esa iaitu ALLAH S.W.T. Setiap pergerakannya juga adalah ibadah kerana dia mahu diredhai Allah.
Orang sebeginilah yang dianggap tinggi 'reputasi'nya di mata Allah.

"Jatuhlah reputasi aku..."

Orang anggap reputasi akan jatuh apabila _______?
  • Jika kita sudah melanggar perintahNya, maka jatuhlah reputasi kita...
  • Jika kita sudah menjauhkan diri daripada Ilahi, maka jatuhlah reputasi kita...
  • Jika kita sudah lupa akan DIA Yang Maha Kuasa bersama kekuasaanNya, maka jatuhlah reputasi kita..
Oleh itu, selagi kamu tidak melanggar perintah ar-Rahman kamu tidak perlu merisaukan reputasimu akan jatuh...

P/S: Jangan menyempitkan maksud ibadah itu semata-mata solat, puasa dan solat-solat sahaja kerana    sesungguhnya segala perlakuan atau pekerjaan yang diniatkan ikhlas semata-mata kerana ALLAH adalah IBADAH!

      

Saturday, August 13, 2011

Istimewanya Ramadhan...

Istimewanya Ramadhan setiap kali ia menjelma dalam setahun. Namun, kita tidak pernah menikmati bulan ini sehabis baik. Adakah kerana kita berasa 'confirm' akan hidup lagi tahun depan? Setakat ini bolehlah kita katakan, "Tahun lepas aku rasa confirm je hidup tahun ini and tengoklah kau pun boleh nampak batang hidung aku lagi!" Memanglah boleh sebab kita memang masih hidup pun sekarang ini. Kalau macam itu apa kata kalau saya cabar anda semua supaya cakap macam tu sekarang depan semua orang? Beranikah anda mencabar pencipta kita yang Maha Satu??? Kita semua tahu padahnya. Firaun pernah mencabar Allah secara tidak langsung dengan mengisytiharkan dirinya sebagai tuhan. Lihatlah apa berlaku pada dia...



Hidupnya dalam keadaan yang bongkak di bumi Allah dan matinya tidak diterima bumi. Mahukah kita dimurkai oleh yang Paling Maha Berkuasa? Siapalah kita ini untuk berasa tinggi di bumi Allah...

Stop! (Hahaa..)

Minta maaf tapi bukan berkenaan hidup mati yang kita ingin ceritakan di sini tetapi berkenaan bulan barakah lagi mulia iaitu Ramadhan al-Mubarak. Ya, itulah yang ingin dibincangkan sekarang. Mungkin tidak dikatakan berbincang kerana anda tidak dapat bercakap dengan saya tetapi mungkin lebih kepada perkongsian pendapat saya dengan anda semua.

Seperti yang kita semua tahu, Ramadhan ialah :

Ramadan (b. Arab: رمضان, transliterasi: Ramaḍān, terjemahan harfiah: "panas terik") (biasa digelar "Ramadan Al-Mubarak") adalah merupakan bulan yang ke-9 dan bulan paling suci di dalam kalendar Islam. Seperti bulan Islam lain, bulan ini mempunyai 29 atau 30 hari. Pada bulan ini umat Islam ini diwajibkan berpuasa seperti yang termaktub dalam al-Qur'an yang bermaksud:

“ Bulan Ramadan, yang di dalamnya diturunkan al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah). Oleh itu, barangsiapa di antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu... ”
surah Al-Baqarah, ayat 185

Bulan Ramadan merupakan masa untuk umat Islam berfikir dan merenung diri sendiri, bersolat, membuat kebajikan dan meluangkan masa dengan keluarga serta sahabat handai. Diharapkan dengan berpuasa dari fajar hingga senja umat Islam akan dapat mempertingkatkan disiplin diri dan menjadi pemurah, dengan mengingati kesusahan hidup sebahagian manusia yang miskin papa [1].

....................................................................................................................................................................

Ramadan (Arabic: رمضان‎ Ramaḍān, IPA: [rɑmɑˈdˤɑːn];variations Turkish: Ramazan) is the ninth month of the Islamic calendar, which lasts 29 or 30 days. It is the Islamic month of fasting, in which participating Muslims refrain from eating, drinking and sexual intimacy with their partners[1] during daylight hours and is intended to teach Muslims about patience, spirituality, humility and submissiveness to God. Muslims fast for the sake of God (Arabic: الله‎, trans: Allah) and to offer more prayer than usual. Compared to the solar calendar, the dates of Ramadan vary, moving backwards by about eleven days each year depending on the moon; thus, a person will have fasted every day of the calendar year in 34 years' time. Muslims believe Ramadan to be an auspicious month for the revelations of God to humankind, being the month in which the first verses of the Qur'an were revealed to the Islamic prophet, Muhammad.

....................................................................................................................................................................

شهر رمضان هو الشهر التاسع في التقويم الهجري. وهذا الشهر شهر مميز عند المسلمين عن باقي شهور السنة الهجرية. فهو شهر الصوم، يمتنع في أيامه المسلمون عن الشراب والطعام والجماع من الفجر وحتى غروب الشمس. كما أن لشهر رمضان مكانة خاصة في تراث وتاريخ المسلمين ؛ لأنهم يينزل به مجزئا في الأوامر والنواهي والأسباب، وذلك في ثلاث وؤمنون أن بدأ الوحي وأول ما نزل من القرآن على النبي محمد بن عبد الله كان في ليلة القدر من هذا الشهر في عام 610 م،حيث كان رسول الله في غار حراء عندما جاء إليه الملك جبريل، وقال له "اقرأ باسم ربك الذي خلق" وكانت هذه هي الآية الأولى التي نزلت من القرآن، والقرآن أنزل من اللوح المحفوظ ليلة القدر جملة واحدة، فوضع في بيت العزة في سماء الدنيا في رمضان، ثم كان جبريل عشرين سنة.

....................................................................................................................................................................
                                                                                                 (petikan daripada wikipedia.org)

Ok, saya telah beri definisi Ramadhan dalam tiga bahasa dan adakah ia sudah mencukupi?

Hmm.. ikut andalah jika anda rasa cukup atau tidak. Apa yang penting di sini adalah :)

Apa yang patut kita tahu tentang bulan Ramadhan ialah Ramadhan ialah 'bulan khusus buat umat islam yang penuh barakah'. Jika ini sahaja anda tahu sudah memadai untuk menggerakkan tubuh anda melakukan ibadah. Mengapa saya berkata begini? Tidak bermaksud saya tidak menggalakkan anda mencari maklumat lain mengenai Ramadhan tetapi saya yakin jika anda memahami dan menghayati hanya sepotong ayat itu anda akan mencari sendiri maklumat itu tanpa dipaksa.
Mari kita sama-sama memahami dan manghayati maksud ayat tersebut.

'Bulan Ramadhan ialah bulan khusus buat umat islam yang penuh barakah'

Dua perkataan yang saya highlightkan di atas itu merupakan keyword yang penting untuk kita semua. Apakah yang dimaksudkan khusus di sini? Khusus yang dimaksudkan di sini ialah bulan yang Allah beri KHAS kepada kita untuk kita beribadah dan mengabdikan diri kepada-Nya. Apa anda rasa jika hadiah yang anda berikan kepada seseorang disia-siakan begitu sahaja? Marah? Sedih? Kecewa? Mestilah, hadiah yang kita penat-penat belikan diketepikan begitu sahaja. Cuba kita fikir apa pula kata Allah (cumalah kiasan) jika 'hadiah' yang paling 'istimewa' Dia berikan kepada kita, KHUSUS pula tu, disia-siakan, diabaikan malah dimain-mainkan??? Adakah anda rasa Allah s.w.t menyukainya? Dan adakah kita mahu dimurkai-Nya? Siapa yang mahu dimurkai melainkan mereka yang tidak takut pada azab Allah.

Oleh itu, mari kita sama-sama ubah diri kita. Bulan ini dikhususkan kepada kita untuk kita menghambakan diri pada yang Maha Agung. Seperti yang telah diuar-uarkan pada kita, bulan ini juga dilipatgandakan pahala bagi setiap amal ibadah yang kita lakukan. Belum dikira lagi dengan adanya lailatulqadr yang malamnya lebih baik daripada seribu bulan. Apa lagi yang kita mahukan? Pelbagai tawaran diberikan pada bulan ini tetapi apa yang kita lakukan hanyalah berpuasa semata-mata kerana ia diwajibkan? Kalau tidak diwajibkan, adakah kita akan berpuasa? Apa yang saya ingin katakan di sini ialah marilah kita sama-sama menjalankan ibadah mengabdikan diri KHUSUS untuk Allah sebagai ganti pemberian khusus-Nya kepada kita.

Apa pula yang dimaksudkan dengan barakah? Apa yang saya mahu teman-teman sekalian faham di sini ialah  barakah itu membawa maksud berkat. Segala perbuatan yang kita lakukan seikhlas hati lillahita'ala akan diberkati setiap satunya. Apa kelebihan berkat? Sebelum itu, adakah kita tahu apa maksud berkat? Keberkatan itu adalah satu kebaikan yang datang daripada Allah s.w.t atas apa yang kita lakukan dengan mendapat keredhaan-Nya. Oleh itu, apakah kelebihannya? Kelebihannya ialah kita mendapat kebaikan dan kebahagiaan dalam hidup dan dalam setiap perkara yang kita lakukan. Siapakah yang tidak mahu bahagia dalam hidup, lebih-lebih lagi kebahagiaan yang terjamin daripada Allah s.w.t? Fikir-fikirkanlah. Kutiplah setiap barakah yang dilimpahkan pada bulan ini sebagai jaminan kebahagiaan kita di dunia dan akhirat.

Kesimpulannya, jika anda telah memahami baris ayat yang saya kongsikan tadi, saya yakin selepas ini, kita tidak akan lagi membuang masa dengan perkara-perkara yang melalaikan seperti mendengar muzik, bersembang, melihat televisyen, bermain tidak tentu masa dan sebagainya. Malah, kita pasti akan mengisi setiap ruang waktu yang kosong dengan solat-solat sunat, mengkhatamkan al-Quran, berzikir, bertadarus, menghadiri majlis-majlis ilmu, bersedekah, bermuhasabah, berqiamullail dan ibadah-ibadah lain yang mendekatkan diri dengan Sang Pencipta Teragung.

Wassalam.. Nikmatilah keistimewaan Ramadhan!







Friday, August 12, 2011

Apa yang sebenarnya kita mahukan dalam hidup ini???

Anyone? Somebody? Please answer this...
Apa yang kita mahukan sebenarnya ialah sebuah tempat pergantungan di saat kita kejatuhan mahupun saat kebangkitan. Tidak percaya? Mari kita renungkan bersama...
Pernahkah kamu rasa sangat tertekan apabila terdapat satu masalah yang amat berat untuk diselesaikan, kemudian kamu meminta tolong pada semua sahabat kamu tetapi tiada seorang pun daripada mereka tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah kamu? Tidak mustahil setiap insan pernah merasakan ini semua. Jadi, bagaimana? Apakah yang selalu kita lakukan di saat-saat sebegitu? Secara tidak langsung kita akan kembali kepada Pencipta kita dengan linangan air mata merintih memohon dipermudahkan dan dipertemukan penyelesaian. Di sini jelaslah menunjukkan kebergantungan kita kepada Allah s.w.t.
Bak kata orang, kita tidak boleh hidup bergantung pada sesiapa. Namun begitu, lain pula jika bergantung sepenuhnya kepada Allah. Ini kerana Allah yang paling berkuasa dalam setiap sesuatu. Kita hidup kerana-Nya, kita mati kerana-Nya, kita mahu ke syurga-Nya, kita mahu reda-Nya, kita takut azab-Nya, kita takut murka-Nya, segala-galanya yang kita lakukan adalah  untuk-Nya, Allah s.w.t yang Maha Pengasih. Jika begitu, salahkah kita untuk bergantung 100% pada Dia. Jangan lupa bahawa Dia sentiasa ada untuk hambanya. Dia sepatutnya menjadi kekasih hati yang paling utama bagi kita semua.
Adakah waktu gembira mahupun di saat kebangkitan kita sudah tidak memerlukan-Nya? Salah sama sekali. Jika kita memerlukan-Nya di saat kesusahan sama jugalah seperti di saat yang menggembirakan. Mengapa? Kita tidak akan merasakan sekelumit pun perasaan gembira jika bukan Dia yang kurniakan pada kita. Lupakah kita  (terutama di saat kita peroleh kemenangan) bahawa yang mengatur hidup kita ini ialah Allah s.w.t? Mengapa kita hanya kembali padanya di saat kita jatuh sahaja? Sesungguhnya, Dialah yang membangkitkan kita dari kejatuhan dan memenangkan kita dengan kejayaan. Mengapa perlu pertikaikan? Adakah kita fikir dengan usaha kita, kita berjaya. Yang berhak menentukan itu cumalah Allah sahaja. Dia yang menentukan kejatuhan kita.
Kadang-kadang, kita marah di kala Allah menguji kita dengan kejatuhan.Mengapa perlu kita marah sedangkan setelah kita bangkit daripada kejatuhan kita lupa pada Dia? Kita masih lagi tidak sedar di mana seharusnya pergantungan diletakkan. Bukan pada harta tapi rezeki Allah, bukan pada kudrat kita tapi izin Allah, bukan pada kelebihan kita tapi nikmat Allah. Apa yang kita ada jika hendak ditolak semua pemberian Allah? Tiada apa malah kita pun tidak akan wujud tanpa Allah. Sedarlah, kita manusia yang dicipta oleh Allah. Siapakah yang akan mencipta kita selain Allah s.w.t sahaja? Janganlah kita menjadi manusia yang egois apabila dipersoalkan tentang perkara yang kita mahukan dalam hidup. Fitrah kita diciptakan dengan memerlukan kebergantungan kepada Allah. Namun, oleh kerana egois dan kelalaian kita, kita lupa apa yang kita perlukan setiap detik yang kita lalui dalam hidup kita.


P/S: Minta maaf jika post pertama ini tidak berapa menarik memandangkan saya masih lagi tidak bersedia. Namun, apa yang diharapkan di sini ialah pengajaran yang perlu kita ambil untuk sama-sama memperbaiki diri kita dalam menjadi hamba yang beriman dan bertakwa.