Friday, August 12, 2011

Apa yang sebenarnya kita mahukan dalam hidup ini???

Anyone? Somebody? Please answer this...
Apa yang kita mahukan sebenarnya ialah sebuah tempat pergantungan di saat kita kejatuhan mahupun saat kebangkitan. Tidak percaya? Mari kita renungkan bersama...
Pernahkah kamu rasa sangat tertekan apabila terdapat satu masalah yang amat berat untuk diselesaikan, kemudian kamu meminta tolong pada semua sahabat kamu tetapi tiada seorang pun daripada mereka tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah kamu? Tidak mustahil setiap insan pernah merasakan ini semua. Jadi, bagaimana? Apakah yang selalu kita lakukan di saat-saat sebegitu? Secara tidak langsung kita akan kembali kepada Pencipta kita dengan linangan air mata merintih memohon dipermudahkan dan dipertemukan penyelesaian. Di sini jelaslah menunjukkan kebergantungan kita kepada Allah s.w.t.
Bak kata orang, kita tidak boleh hidup bergantung pada sesiapa. Namun begitu, lain pula jika bergantung sepenuhnya kepada Allah. Ini kerana Allah yang paling berkuasa dalam setiap sesuatu. Kita hidup kerana-Nya, kita mati kerana-Nya, kita mahu ke syurga-Nya, kita mahu reda-Nya, kita takut azab-Nya, kita takut murka-Nya, segala-galanya yang kita lakukan adalah  untuk-Nya, Allah s.w.t yang Maha Pengasih. Jika begitu, salahkah kita untuk bergantung 100% pada Dia. Jangan lupa bahawa Dia sentiasa ada untuk hambanya. Dia sepatutnya menjadi kekasih hati yang paling utama bagi kita semua.
Adakah waktu gembira mahupun di saat kebangkitan kita sudah tidak memerlukan-Nya? Salah sama sekali. Jika kita memerlukan-Nya di saat kesusahan sama jugalah seperti di saat yang menggembirakan. Mengapa? Kita tidak akan merasakan sekelumit pun perasaan gembira jika bukan Dia yang kurniakan pada kita. Lupakah kita  (terutama di saat kita peroleh kemenangan) bahawa yang mengatur hidup kita ini ialah Allah s.w.t? Mengapa kita hanya kembali padanya di saat kita jatuh sahaja? Sesungguhnya, Dialah yang membangkitkan kita dari kejatuhan dan memenangkan kita dengan kejayaan. Mengapa perlu pertikaikan? Adakah kita fikir dengan usaha kita, kita berjaya. Yang berhak menentukan itu cumalah Allah sahaja. Dia yang menentukan kejatuhan kita.
Kadang-kadang, kita marah di kala Allah menguji kita dengan kejatuhan.Mengapa perlu kita marah sedangkan setelah kita bangkit daripada kejatuhan kita lupa pada Dia? Kita masih lagi tidak sedar di mana seharusnya pergantungan diletakkan. Bukan pada harta tapi rezeki Allah, bukan pada kudrat kita tapi izin Allah, bukan pada kelebihan kita tapi nikmat Allah. Apa yang kita ada jika hendak ditolak semua pemberian Allah? Tiada apa malah kita pun tidak akan wujud tanpa Allah. Sedarlah, kita manusia yang dicipta oleh Allah. Siapakah yang akan mencipta kita selain Allah s.w.t sahaja? Janganlah kita menjadi manusia yang egois apabila dipersoalkan tentang perkara yang kita mahukan dalam hidup. Fitrah kita diciptakan dengan memerlukan kebergantungan kepada Allah. Namun, oleh kerana egois dan kelalaian kita, kita lupa apa yang kita perlukan setiap detik yang kita lalui dalam hidup kita.


P/S: Minta maaf jika post pertama ini tidak berapa menarik memandangkan saya masih lagi tidak bersedia. Namun, apa yang diharapkan di sini ialah pengajaran yang perlu kita ambil untuk sama-sama memperbaiki diri kita dalam menjadi hamba yang beriman dan bertakwa.

No comments:

Post a Comment